Artikel tentang darah tinggi yang saya baca kebanyakannya agak teknikal dengan istilah perubatan dan cara penerangan yang sukar difahami oleh rakyat marhaen. Jadi saya tulis artikel ini dalam bahasa yang mudah supaya anda senang faham dan hadam.
Darah Tinggi - Ketahui 7 Tanda-Tanda dan 8 Cara Merawatnya
Anda boleh share artikel ini di whatsapp dan facebook dengan klik butang share di bawah / di tepi supaya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit darah tinggi malah kepada orang sihat juga. Dengan share anda dapat membantu kawan-kawan dan ahli keluarga anda mencegah dan merawat penyakit ini malah selamatkan nyawa.
ukur tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi atau hipertensi berlaku apabila darah yang mengalir melalui pembuluh arteri memberi tekanan yang tinggi pada dinding saluran ini secara berterusan. Tekanan yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada tekanan normal.
Ini disebabkan oleh saluran darah yang sempit memberi rintangan kepada aliran darah semasa melaluinya. Ini memaksa jantung bekerja lebih kuat untuk mengepam lebih banyak darah melalui saluran yang sempit ini. Semakin kuat jantung bekerja dan semakin sempit aliran darah, maka tekanan darah juga meningkat tinggi. Keadaan ini membebankan jantung pesakit. Tekanan darah tinggi yang berterusan boleh menyebabkan serangan atau kegagalan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.
7 Tanda-Tanda Tekanan Darah Tinggi
Tanda-tanda darah tinggi pada sesetengah orang mungkin tidak ketara. Kalau ada pun mungkin mereka anggap itu simptom penyakit lain atau anggap tanda-tanda itu perkara remeh yang tak perlu nak dirisaukan. Hal ini membimbangkan kerana anda mungkin mengalami tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa anda sedari. Apabila dibuat pemeriksaan doktor mungkin penyakit ini sudah sampai ke peringkat yang serius dan komplikasi penyakit lain juga telah ada.
Tanda-tanda tekanan darah tinggi ialah:
Sakit kepala yang berpanjangan
Rasa loya, mual
Pening, kepala pusing (vertigo)
Masalah penglihatan, pandangan kabur
Hidung berdarah
Semput, nafas pendek
Degupan jantung tak sekata
tanda-tanda darah tinggi
Jika anda ada tanda-tanda di atas berlaku berulang kali, segera buat pemeriksaan doktor. Pengesanan awal penting untuk mencegah penyakit anda menjadi lebih serius dan mengelakkan komplikasi penyakit lain. Seeloknya buat pemeriksaan kesihatan tahunan secara berkala.
13 Punca-Punca Tekanan Darah Tinggi
Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui namun beberapa faktor dan keadaan memainkan peranan dalam perkembangannya.
Merokok
Obes, berat badan berlebihan
Kurang aktiviti fizikal
Ambil alkohol berlebihan
Lebihan garam dalam diet makanan
Stress, tekanan emosi
Golongan berumur
Genetik
Sejarah keluarga yang menghidap tekanan darah tinggi
Penyakit buah pinggang kronik
Penyakit kencing manis
Gangguan pernafasan semasa tidur
Kesan sampingan ubat
8 Cara Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Pesakit perlu melalui beberapa pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui peringkat tekanan darah dan kemungkinan wujud penyakit lain. Dari situ doktor akan memberikan preskripsi ubat dan menyarankan amalan gaya hidup sihat untuk menurunkan tekanan darah tinggi pesakit.
Cara menurunkan tekanan darah tinggi perlu diamalkan oleh pesakit untuk mengelakkan penyakit mereka menjadi lebih serius dan mencegah komplikasi penyakit berbahaya lain.
Orang yang sihat juga harus praktikkan amalan kesihatan di bawah agar tekanan darah kekal berada pada paras normal. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Jom kita amalkan langkah-langkah di bawah yang mampu untuk menurunkan tekanan darah tinggi.
Bersenam 30 minit setiap hari. Melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, jogging, berbasikal, berenang dan menari.
Kurangkan berat badan jika berat badan anda berlebihan atau obes. Kurangkan juga buncit di keliling pinggang. Kesan ubat juga lebih baik apabila berat badan berkurangan.
Kurangkan pengambilan garam (sodium). Hadkan dalam sehari hanya ambil 1 sudu teh garam dalam makanan bagi dewasa sihat dan setengah sudu teh bagi pesakit darah tinggi. Kurangkan makan keju, kicap, telur masin, ikan masin dan makanan masin lain.
Berhenti merokok, kurangkan pengambilan alkohol dan kafein. Untuk Muslim diharam mengambil minuman beralkohol.
Kawal stress / tekanan emosi. Kurang fikirkan masalah dan ingat perkara yang menyenangkan anda. Amalkan latihan pernafasan untuk tenang dan santai.
Amalkan diet sihat seperti sayuran, buahan, gandum penuh dan tenusu rendah lemak dalam menu anda. Kurangkan makanan tinggi lemak dan kolesterol.
Awasi tekanan darah anda di rumah. Ini untuk pastikan tekanan anda kekal berada pada bacaan selamat. Ia juga untuk mengetahui keberkesanan ubatan dan mengelakkan komplikasi.
Amalkan suplemen seperti madu kelulut. Suplemen ini mempunyai pelbagai khasiat yang mencukupi untuk keperluan nutrien harian anda.
Komplikasi Akibat Tekanan Darah Tinggi
Tekanan darah yang terlalu tinggi pada dinding arteri boleh merosakkan pembuluh darah dan juga kepada organ vital anda. Semakin tinggi tekanan darah dan semakin lama tempoh tekanan yang dibiarkan berlarutan, maka semakin parah kerosakannya.
Komplikasi akibat tekanan darah tinggi ialah:
Strok – Aliran darah ke otak terjejas kerana arteri pecah atau tersumbat mengakibatkan sel-sel otak mati. Serangan Jantung – Otot jantung berhenti berdegup kerana kehilangan bekalan darah. Kegagalan Jantung – Otot jantung yang sentiasa mengepam darah pada tekanan tinggi akan menebal. Biasanya kalau kita selalu bersenam angkat besi, otot tangan akan membesar tapi kalau otot jantung yang menebal, ia sebenarnya memberi masalah kepada jantung, menyukarkan jantung untuk mengepam darah secukupnya untuk keperluan tubuh. Gumpalan Darah – Sebilangan darah bertukar dari cecair ke pepejal dan ini boleh menyebabkan komplikasi serius.
Aneurism – Bonjolan terbentuk pada dinding pembuluh vena, arteri dan jantung. Dinding pembuluh yang lemah ini boleh pecah dan mengancam nyawa. Kegagalan Buah Pinggang – Tekanan darah tinggi boleh merosakkan pembuluh darah kecil dalam buah pinggang mengakibatkan organ ini tidak berfungsi dengan baik. Akhirnya buah pinggang akan gagal berfungsi sepenuhnya. Mata – Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan pembuluh darah dalam mata menebal, sempit dan koyak, seterusnya kehilangan penglihatan.
Sindrom Metabolik – Ini adalah gangguan kepada metabolisma badan seperti saiz pinggang membesar, tahap HDL darah rendah (kolesterol baik), hipertensi dan tahap insulin yang tinggi. Jika pesakit ada penyakit darah tinggi, dia mungkin ada sindrom metabolik, iaitu risiko tinggi untuk menghidap kencing manis, strok dan sakit jantung. Masalah Ingatan dan Pemahaman – Penyakit darah tinggi boleh menjejaskan keupayaan individu untuk belajar, mengingati sesuatu dan memahami konsep.
Bacaan Tekanan Darah Tinggi dan Normal
Anda boleh dapatkan pemeriksaan tekanan darah di klinik atau farmasi. Anda juga boleh beli alat pengukur tekanan darah dan periksa sendiri di rumah jika anda rasa anda lebih berisiko untuk menghidap penyakit ini. Dengan bacaan terkini maka anda akan lebih berhati-hati dalam pemilihan pemakanan dan amalan gaya hidup anda.
Tekanan darah ada dua bacaan dan biasanya diukur seperti 120 / 80 mmHg. Nombor pertama 120 menunjukkan tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung. Ia dipanggil tekanan sistolik.
Nombor kedua 80 menunjukkan tekanan semasa jantung berehat antara denyutan. Ia dipanggil tekanan diastolik. Masa yang sesuai untuk mengukur tekanan darah adalah ketika anda dalam keadaan rehat.
Hipotensi (tekanan darah rendah): kurang dari 90 / 60
Bacaan Normal: antara 90 / 60 ke 119 / 79
Pra Hipertensi: antara 120 / 80 ke 139 / 89
Hipertensi peringkat 1: antara 140 / 90 ke 159 / 99
Hipertensi peringkat 2: lebih dari 160 / 100
Bacaan normal boleh berbeza antara individu bergantung kepada umur, keadaan jantung, emosi, aktiviti dan jenis ubat yang diambil. Untuk individu berusia lebih 60 tahun, dia ditakrifkan menghidap penyakit darah tinggi jika bacaannya lebih dari 150 / 90. Tekanan darah tinggi yang berterusan boleh menyebabkan serangan atau kegagalan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.
Artikel bermanfaat lain yang boleh anda baca: Ketahui 14 Tanda-Tanda Kencing Manis